Kementerian Kewangan dan MyKasih telah membuat kenyataan permohonan maaf kerana masalah sistem tergendala pada hari pertama agihan kredit RM100 kepada kira-kira 22 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurut kenyataan bersama tersebut, jumlah penggunaan yang terlalu tinggi telah mengakibatkan sistem tidak dapat menampung proses yang diperlukan.

“Pihak Kementerian Kewangan dan MyKasih memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna SARA pada hari ini.

“Susulan jumlah transaksi yang sangat tinggi sempena hari pertama penyaluran SARA, pembelian masih boleh dilakukan. Namun, sebahagian premis runcit mungkin menghadapi kesukaran untuk memproses transaksi akibat permintaan sistem yang terlalu tinggi,” jelas kenyataan tersebut.

Pihak kementerian dan MyKasih mengambil maklum tentang isu ini dan telah mengambil tindakan secepat mungkin. Sistem dijangka akan kembali pulih dalam masa yang terdekat ini.

Program SARA merupakan sebahagian usaha kerajaan memberikan bantuan bersasar melalui transaksi nirtunai di kedai-kedai yang mengambil bahagian di seluruh negara. Kredit bantuan SARA RM100 secara one-off mula diagihkan hari ini menerusi MyKad dan dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 22 juta penerima berusia 18 tahun dan ke atas di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM2 billion.

Tinggalkan komentar