Microsoft telah mengesahkan dan menerbitkan kemas kini untuk membaiki pepijat (bug) yang telah lama mengecewakan pengguna sistem operasi Windows 10 dan Windows 11. Isu ini menyebabkan pilihan “Update and shut down” (Kemas kini dan matikan) tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Ia sebaliknya memulakan semula (restart) komputer, dan bukannya mematikannya sepenuhnya. Pepijat yang dilaporkan telah wujud hampir sedekad ini akhirnya diselesaikan melalui kemas kini pilihan Oktober 2025.​

Selama bertahun-tahun, ramai pengguna Windows menghadapi masalah di mana komputer mereka tidak mati sepenuhnya selepas memilih fungsi “Update and shut down”. Sebaliknya, peranti akan but semula ke skrin log masuk. Masalah ini amat merumitkan pengguna komputer riba, yang sering mendapati bateri peranti mereka kehabisan pada keesokan harinya kerana komputer terus berjalan sepanjang malam.​

“Rasa macam tekan butang Shutdown, tapi kenapa Restart?”

Sebelum ini, ramai pengguna menganggap mereka tersilap menekan butang “Update and restart” (Kemas kini dan mulakan semula) kerana kedua-dua pilihan tersebut kelihatan serupa dan diletakkan bersebelahan. Walau bagaimanapun, Microsoft kini telah mengesahkan bahawa ia adalah satu pepijat dalam sistem operasinya.​

Punca masalah ini dipercayai berpunca daripada kegagalan dalam Windows Servicing Stack yang tidak dapat melaksanakan arahan untuk mematikan peranti selepas proses kemas kini memerlukan but semula mandatori. Arahan “power off” tersebut berkemungkinan terpadam atau disekat semasa fasa pemasangan kemas kini.​

Penyelesaian untuk isu ini disertakan dalam kemas kini pilihan Oktober 2025, yang dikenali sebagai KB5067036, untuk Windows 11 versi 24H2 dan 25H2. Pengguna memerlukan sekurang-kurangnya versi build 26200.7019 atau lebih baharu untuk pembaikan ini berfungsi. Walaupun masalah ini turut menjejaskan pengguna Windows 10, kemas kini khusus ini pada masa ini hanya tertumpu kepada Windows 11.​

Menurut Microsoft, penyelesaian ini akan diedarkan secara meluas kepada semua pengguna melalui kemas kini Patch Tuesday pada 11 November.​

Tindakan Microsoft membaiki pepijat yang telah lama wujud ini memberikan kelegaan kepada jutaan pengguna Windows di seluruh dunia. Pengguna yang terjejas digalakkan untuk memasang kemas kini pilihan KB5067036 atau menunggu pengedaran rasminya pada bulan November untuk memastikan fungsi “Update and shut down” beroperasi seperti yang sepatutnya.

Tinggalkan komentar