Microsoft akan menempatkan Windows di awanan tidak berapa lama lagi. Windows 365 merupakan perkhidmatan baharu yang membolehkan sesebuah organisasi mengakses Cloud PC, sama ada Windows 10 atau Windows 11 melalui pelayar web dari mana-mana sahaja.

Sungguhpun pemayaan (virtualization) dan akses jarak jauh ke PC sudah pun wujud sejak lebih dari satu dekad, Microsoft menawarkan perkhidmatan Windows 365 sebagai usaha mengembangkan perkhidmatannya di dalam produktiviti dan kerja jarak jauh.

Windows 365 boleh digunakan pada mana-mana pelayar web moden atau melalui aplikasi Microsoft Remote Desktop. Ia membenarkan pengguna mengakses Cloud PC masing-masing dari pelbagai peranti. Menurut Pengurus Microsoft 365, Wangui McKelvey, pengguna boleh mengakses ke Windows 365 dari apa jua peranti termasuk Mac, iPad, Linux dan Android.

Perkhidmatan ini hanya akan ditawarkan kepada pengguna perniagaan sebaik pelancarannya pada 2 Ogos ini dengan langganan berdasarkan bilangan pengguna. Bagaimanapun, Microsoft tidak memperincikan harga-harga yang akan ditawarkan bagi setiap penawaran perkhidmatan tersebut.

Dua edisi Windows 365

Terdapat dua edisi Windows 365 iaitu Business dan Enterprise. Kedua-duanya dikuasakan oleh Azure Virtual Desktop. Setiap Cloud PC pula boleh dikonfigurasikan dari serendah 1 CPU, 2 GB RAM dan 64GB storan, sehinggalah ke 8 CPU, RAM 32GB dan storan 512GB.

Microsoft dikatakan akan menawarkan sehingga 12 konfigurasi bagi Windows 365 Business dan Enterprise. Justeru, memberikan lebih pilihan buat perniagaan menentukan perkhidmatan mana yang paling sesuai berdasarkan keperluan masing-masing.

Sebelum ini Microsoft sudah bertahun-tahun mengusahakan perkhidmatan awanan sebegini. Pada tahun 2013, Microsoft pernah melakukan demonstrasi permainan komputer Halo pada Windows Phone melalui projek yang diberi nama kod “Arcadia”.

Kemunculan wabak pandemik ini telah mempercepatkan pembangunan Windows 365 dan tumpuan Microsoft terhadap cara kerja hibrid yang diamalkan kebanyakan pengguna masa kini.

Perkhidmatan ini juga dijangka mampu membantu pengguna-pengguna yang menggunakan peranti-peranti usang atau berspesifikasi rendah menggunakan sistem operasi yang lebih moden dan pantas seperti apa yang ditawarkan oleh Windows 365 kelak.

Tinggalkan komentar