Microsoft akan menghantar notifikasi peringatan kepada pengguna Windows 8.1 berkenaan penamatan sokongannya pada 10 Januari 2023. Gergasi perisian tersebut akan mula menghantar notifikasi berkenaan kepada pengguna Windows 8.1 bermula dari bulan hadapan sehingga tarikh penamatannya.
Notifikasi ini juga mirip dengan peringatan tamat sokongan kepada pengguna Windows 7 sebelum ini. Microsoft pada asalnya telah menetapkan sokongan Windows 8 tamat pada 2016, manakala kemaskini Windows 8.1 pula akan tamat sepenuhnya pada Januari 2023.
Microsoft juga tidak akan menawarkan program Kemaskini Keselamatan Lanjutan (Extended Security Update, ESU) untuk Windows 8.1. Oleh itu, perusahaan tidak boleh mendapatkan tampalan keselamatan tambahan berbayar dan perlu menaik taraf ke versi yang lebih terkini atau berdepan risiko menggunakan perisian tanpa kemaskini keselamatan.
Windows 8.1 merupakan kemaskini utama yang ditawarkan bagi mengatasi pelbagai isu yang menyelubungi Windows 8 sebelum itu. Windows 8 diperkenalkan sebagai usaha Microsoft ke arah penggunaan PC secara sentuhan pada paparan dengan mengenepikan penggunaan desktop dan butang Start seperti yang biasa ditawarkan pada Windows sebelumnya. Tindakan ini telah mengakibatkan kebanyakan pengguna PC menolak pendekatan tersebut.
Masalah Windows 8
Antaramuka sistem operasi yang mengetengahkan peranti mudah alih ini tidak diterima dengan baik oleh pengguna-pengguna Windows. Atas sebab itu, Microsoft telah memperkenalkan Windows 8.1 bagi membetulkan kembali keadaan.
Pengguna Windows 8.1 perlu memutuskan sama ada ingin menaik taraf sistem operasi mereka atau membeli PC baharu. Kebanyakan PC Windows 8.1 tidak dapat menyokong Windows 11 berikutan keperluan sistem yang terlalu ketat.
Pilihan lain yang mampu dilakukan adalah menaik taraf ke Windows 10 memandangkan sistem operasi ini akan terus menerima sokongan sehingga 14 Oktober 2025. PC yang menggunakan Windows 8.1 bagaimanapun masih lagi boleh digunakan selepas dari tarikh 10 Januari 2023.
Namun tanpa kemaskini perisian dan pembaikan keselamatan, ia akan mendedahkan PC berkenaan terhadap risiko keselamatan siber. Dalam pada masa yang sama, Microsoft menyediakan halaman bantuan melalui soalan-soalan lazim dan artikel bagi membantu pengguna Windows 8.1 menaik taraf atau memindahkan fail-fail ke PC baharu.













