Microsoft Surface Pro 4 kini hadir dengan storan berkapasiti 1 TB dan ini sudah pasti memberikan kemudahan buat pengguna yang menjadikan laptop mereka sebagai komputer utama untuk melakukan pelbagai tugasan. Laptop atau tablet dengan kapasiti storan yang kecil sedikit sebanyak menyukarkan pengguna melakukan pelbagai tugasan pada masa yang sama.
Walaupun masalah storan yang kecil ini dapat diatasi dengan menggunakan storan luaran atau menggunakan storan awanan, namun, ia tidak sama mudah sepertimana menggunakan storan dalaman yang sedia ada pada peranti.
Baru-baru ini Microsoft melancarkan versi baru untuk Surface Book dan Surface Pro 4. Menurut Microsoft, kedua-dua laptop berkenaan akan hadir dengan konfigurasi terbaik yang pernah ditawarkan oleh mereka setakat ini.
“We’re excited to announce that the most powerful versions yet of Surface Book and Surface Pro 4 are now on sale in the United States and Canada. These products feature 1TB of storage with 6th Generation Intel Core i7 processors and 16GB of RAM for the ultimate in performance and versatility (Kami amat teruja untuk mengumumkan versi paling berkuasa Surface Book dan Surface Pro 4 setakat ini kini mula di jual di Amerika Syarikat dan Kanada. Produk-produk ini menampilkan storan 1 TB dengan pemproses Intel Core i7 Generasi Keenam dan RAM 16 GB untuk prestasi terbaik dan lebih versatil),” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Microsoft melalui satu pos di dalam blog.
Surface Book boleh didapati pada harga USD 3,199 dan hanya boleh dibeli secara atas talian dari Microsoft atau wakil jualan yang dilantik. Manakala Surface Pro 4 versi terbaru pula dijual pada harga USD 2,699 yang boleh dibeli secara atas talian dan juga pembelian di kedai-kedai jualan Microsoft.
-Sumber berita diperoleh dari Blog Windows













