Pelayar web Chrome tidak lama lagi mampu memuatkan laman web lebih pantas dan dengan menggunakan data yang kurang melalui penggunaan algoritma mampatan baru, Brotli. Menurut Google, algoritma mampatan Brotli merupakan format data baru yang berfungsi lebih baik dengan memuatkan lebih banyak data sambil pada masa yang sama masih mampu menyahmampat pada kelajuan yang hampir sama dengan pelayar-pelayar lain.
Perkataan Brotli dipinjam dari Bahasa Jerman yang memberi maksud roti kecil dan algoritma mampatan ini mula diperkenalkan seawal September 2015 lalu. Google turut mendakwa Brotli mampu mengurangkan saiz sehingga 26 peratus dan turut membantu menjimatkan penggunaan bateri apabila digunakan pada peranti mudah alih.
Bagi yang berminat untuk melihat bagaimana algoritma mampatan Brotli ini berfungsi pada Google Chrome, anda boleh mencubanya sendiri melalui Google Chrome Canary. Untuk pengetahuan anda, Canary merupakan pelayar Chrome yang digunakan untuk melakukan pengujian terhadap satu-satu fungsi baru yang diperkenalkan. Untuk itu, berkemungkinan besar terdapat pelbagai masalah pepijat dan glic sewaktu menggunakannya apabila menggunakan pelayar untuk demonstrasi berkenaan yang boleh dimuat turun di sini.
Google Chrome dengan algoritma mampatan Brotli ini akan hadir sepenuhnya tidak lama lagi melalui kemaskini yang akan datang. Sungguhpun algoritma mampatan yang baru ini mampu memuatkan laman-laman web dengan lebih pantas, ia masih lagi bergantung dengan sejauh mana tahap kelajuan minimum yang dapat disediakan oleh ISP sesebuah negara itu.
-Sumber berita diperoleh dari The Next Web