Microsoft merancang mengintegrasikan Spotify ke dalam fungsi baharu Windows 11. Ketua Bahagian Windows dan Peranti, Panos Panay telah mempertontonkan video acah fungsi Focus Sessions Windows 11 di Twitter minggu lalu.

Focus Sessions menyertakan integrasi Spotify, membolehkan anda mewujudkan pemasa fokus untuk menyelesaikan tugasan-tugasan sambil mendengar senarai main muzik dari Spotify.

Microsoft masih lagi belum menguji Focus Sessions ini ke dalam ‘public builds‘ Windows 11 setakat ini. Tetapi, berdasarkan video acah yang dikongsikan, ia akan disertakan ke dalam aplikasi Clock Windows 11.

Ia kelihatan seperti Teknik Pomodoro, sejenis kaedah pengurusan masa dengan memecahkan tugasan-tugasan kepada bahagian-bahagian kecil dengan masa rehat pendek.

Ketika ini terdapat pelbagai aplikasi dan laman web produktiviti yang menggunakan teknik Pomodoro bagi membolehkan anda menetapkan masa bagi menumpukan terhadap senarai tugasan. Integrasi Spotify oleh Microsoft ini mungkin dilihat sebagai salah satu usahanya untuk menawarkan keunikan yang tersendiri.

Usaha integrasi Spotify ini juga merupakan pertama yang dibuat pada Windows selepas Microsoft menamatkan perkhidmatan Groove Music pada 2017.

Dalam pada masa yang sama, Microsoft bekerjasama dengan Spotify untuk memindahkan pelanggan Groove Music bersama-sama senarai mainnya. Microsoft dan Spotify juga sebelum ini pernah bekerjasama untuk menghasilkan aplikasi Spotify untuk Windows 10 dan juga untuk konsol Xbox.

Tinggalkan komentar