Selain dari laporan berkenaan pembikinan Store baharu Windows 10, Microsoft turut dikatakan akan melancarkan perkhidmatan Cloud PC.

Menurut ZDNet, Microsoft kini sedang menggiatkan usaha perkhidmatan berteraskan Azure ini seawal Jun ini.

Melalui Cloud PC, pengguna dapat mengakses ke desktop Windows secara jarak jauh dan boleh menggunakan perisiannya seperti Microsoft Office.

Ini dapat memudahkan pengguna bertukar-tukar antara peranti dengan paparan desktop yang sama. Begitu juga bagi pengguna yang mempunyai komputer dengan perkakasan rendah tetapi mempunyai internet berkelajuan tinggi. Syarikat-syarikat juga dapat menyediakan para pekerja sistem komputer Windows 10 dengan perkakasan yang asas melalui rangkaian Cloud PC.

Microsoft dilaporkan akan menjual perkhidmatan ini dibawah Microsoft 365 dan menawarkan kadar rata untuk setiap pengguna. Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan harga perkhidmatan Cloud PC ini kelak akan ditawarkan mengikut keperluan pemprosesan, memori dan storan.

Lebih banyak maklumat mengenai perkhidmatan Cloud PC ini dapat diketahui melalui Build 2021. Persidangan pembangun Microsoft pada tahun ini akan berlangsung pada penghujung bulan Mei. Mengikut jadual pelaksanaan Cloud PC, perkhidmatan ini akan mula beroperasi sebelum persidangan rakan kongsi Microsoft Inspire yang bakal berlangsung pada pertengahan Julai.

Tinggalkan komentar