Microsoft telah mengumumkan pelancaran Windows 11 secara rasminya akan dibuat bermula pada 5 Oktober 2021. Pengumuman ini hadir dua bulan selepas sistem operasi baharu berkenaan diperkenalkan pada Jun lalu.

Pada tarikh pelancaran berkenaan, pengguna boleh mendapatkan Windows 11 pada PC-PC yang telah dipra-pasang dengan sistem operasi tersebut.

Dalam pada masa yang sama, Microsoft juga memaklumkan akan melaksanakan penawaran Windows 11 pada PC-PC Windows 10. Bagaimanapun, penawaran ini hanya akan ditawarkan pada peranti-peranti yang lebih terkini dalam peringkat awal pelaksanaannya.

Microsoft juga menyatakan ketersediaan kemaskini untuk setiap peranti berkenaan juga bergantung kepada beberapa faktor termasuk kesesuaian perkakasan, tahap ciri keselamatan dan juga usianya.

Pun begitu, Microsoft menjangkakan kesemua PC Windows 10 yang layak akan menerima kemaskini naik taraf Windows 11 percuma menjelang pertengahan 2022.

Seperti yang anda sedia maklum, Windows 11 mempunyai keperluan minimum sistem seperti berikut:

  • Pemprosesan dwi-teras 64-bit atau cipset berkuasa 1GHz
  • Grafik serasi DirectX 12 dengan WDDM 2.0 driver
  • Paparan 9-inci dengan resolusi HD 720p dan kedalaman warna 8-bit
  • RAM 4GB
  • Storan 64GB
  • UEFI, Firmware berkeupayaan Secure Boot
  • Trusted Platform Module (TPM) 2.0

Selain itu, sistem komputer berkenaan juga perlu menggunakan pemprosesan yang terdiri dari AMDIntel, atau Qualcomm tertentu untuk menjalankan sistem operasi Windows 11.

Walaupun anda boleh memasang Windows 11 pada PC yang tidak menepati syarat melalui pemasangan manual melalui ISO kelak, anda juga mungkin perlu memasang kemaskininya juga nanti secara manual.

Tinggalkan komentar