Microsoft kini sedang dilihat membuat persediaan untuk mengurangkan saiz kemaskini Windows 10 dalam usaha menawarkan pengguna lebih kawalan terhadap fail-fail kemaskini yang akan digunakan. Untuk mengurangkan saiz kemaskini yang akan datang, Windows 10 akan beralih ke platform kemaskini yang baru.

Pada November 2015 yang lalu, platform kemaskini baru yang dikenali sebagai Unified Update Platform (UUP) pernah digunakan bagi meminimakan saiz kemaskini yang diagihkan kepada pengguna yang menguji sistem operasi Windows 10 melalui program Windows Insider.

Penggunaan UUP dilihat mampu mengurangkan saiz fail muat turun kepada dua pertiga dari saiz sebenar. Terdapat sesetengah keadaan di mana terdapat kemaskini Insider yang saiznya kurang dari 1GB setelah proses kemaskini melalui platform baru tersebut. Berbeza dengan cara kemaskini Windows 10 yang biasa digunakan sekarang ini yang bersaiz 2GB atau lebih.

Muat turun melalui platform ini akan melakukan pemeriksaan terhadap fail-fail yang sudah terdapat di dalam komputer dan akan memilih apa yang diperlukannya sahaja. Platform sebelum ini pada lazimnya akan ‘pukul rata’ muat turun seluruh fail kemaskini tanpa memeriksa sama ada fail-fail tertentu sudah ada pada Windows atau tidak.

Ramai pengguna yang tidak berpuas hati dengan cara Windows 10 mengemaskini sistem operasinya. Antaranya adalah failnya yang terlalu besar serta menghabiskan quota data internet. Hal ini tentunya menyusahkan pengguna-pengguna yang melanggan pakej internet yang mempunyai had kuota kecil.

Disamping itu, saiz fail kemaskini yang lebih kecil juga mampu membantu mempertingkatkan tempoh penggunaan bateri peranti Windows 10. Ini kerana, saiz fail yang lebih kecil memudahkan proses kemaskini dan dapat menjimatkan penggunaan kuasa.

Kemaskini yang dikenali sebagai Creators Update ini turut menawarkan fungsi pemberitahuan kepada pengguna untuk memilih sama ada ingin melakukan restart untuk melengkapkan proses instalasi, lena seketika (snooze) atau boleh juga memilih masa yang diinginkan untuk komputer melakukan restart sendiri.

Untuk pengguna Pro, Education atau Enterprise, terdapat pilihan terbaru untuk pentadbir menangguhkan kemaskini. Penangguhan yang dibenarkan adalah sehingga empat bulan. Bagaimanapun, sebaik sahaja kemaskini kumulatif bulanan diterbitkan, pengguna hanya dibenarkan untuk menangguhkannya sehingga 30 hari sahaja.

Sumber berita diperoleh dari ZDNet

1 komen

Tinggalkan komentar