Presiden Microsoft Brad Smith telah mengesahkan pihak syarikatnya kini akan menghentikan segala bentuk jualan baharu produk dan perkhidmatannya di Russia.
Kenyataan yang dikongsikan menerusi blog rasmi Microsoft tersebut bagaimanapun tidak memperincikan tindakan yang akan diambil. Sebelum ini, pembangun permainan Cyberpunk 2077, CD Projekt Red telah mengambil tindakan yang sama.
Microsoft menjadi antara syarikat teknologi terbaru yang mengambil tindakan menghentikan sebahagian jualannya di Russia berikutan pendudukannya ke atas Ukraine.
Sejak pertempuran di Ukraine tercetus, ramai pemimpin-pemimpin dunia mendesak sekatan ekonomi dan hubungan luar dengan Russia. Tindakan ini turut melibatkan sekatan terhadap bank-bank Russia dan juga saluran-saluran media yang dikuasai kerajaannya.
Pengumuman oleh Microsoft ini hanya melibatkan jualan produk perkhidmatan baharu sahaja. Untuk perkhidmatan yang masih lagi di dalam kontrak bagaimanapun tidak dinyatakan.
Pihak Microsoft juga tidak menyatakan sebab mengapa tindakan ini diambil. Namun, tumpuan Microsoft sejak kebelakangan ini terhadap perkhidmatan awanan dan sokongan boleh menjejaskan organisasi dan individu yang menggunakan produk Windows, Office, Microsoft 365, Azure, dan juga Xbox di Russia.
Menurut Smith, pihaknya juga kini memberikan kerjasama penuh dengan pihak kerajaan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom. Tindakan menghentikan jualan produk dan perkhidmatannya di Russia turut dianggap sebagai salah satu tindakan pematuhan arahan tersebut.
Beliau juga memaklumkan sejak tercetusnya peperangan ini, pihaknya membantah tindakan Russia dalam mengancam keselamatan siber lebih 20 buah organisasi kerajaan, IT dan kewangan Ukraine. Tindakan serangan siber yang melibatkan sektor awam juga mencetuskan kebimbangan Microsoft kerana ia melanggar Konvensyen Geneva.
Apple telah menghentikan jualannya di Russia sejak dari 1 Mac lalu, manakala YouTube pula sebelum ini telah menyekat pengiklanan saluran-saluran media yang dikuasai kerajaan Russia. Sekatan demi sekatan terhadap Russia ini dilihat seakan membina tembok digital di antara Russia dengan syarikat-syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Eropah.













