Microsoft baru-baru ini telah mengumumkan pratonton awam untuk perisian antivirus, Microsoft Defender ATP untuk sistem komputer MacOS. Terdahulu, Microsoft telah mengeluarkan versi pratonton terhad pada bulan Mac yang lalu.
“Bermula hari ini, pengguna Microsoft Defender ATP yang telah mengaktifkan ciri pratonton boleh mengakses Microsoft Defender ATP untuk Mac melalui bahagian onboarding di dalam Microsoft Defender Security Center,” menurut pengumuman yang dibuat oleh Microsoft.
Microsoft Defender ATP untuk Mac dilengkapi dengan UI yang diilhamkan dari Windows 10. Paparannya menyediakan maklumat penting seperti butiran imbasan, tetapan perlindungan virus dan ancaman, serta status definisi perlindungan.
Aplikasi ini boleh dipasang pada MacOS Mojave, macOS High Sierra, atau macOS Sierra.
Microsoft Defender ATP menyediakan pengguna Mac pilihan menjalankan imbasan terpilih, imbasan penuh, imbasan segera dan juga imbasan tersuai, sama seperti perisian antivirus lain di pasaran. Skrin ulasan dipaparkan apabila ancaman dikesan, dan aplikasi berkenaan turut menawarkan beberapa pilihan untuk menangani malware, seperti kuarantin, membuang, atau membenarkan.
Lebih banyak fungsi akan hadir
Pastinya, aplikasi ini juga dilengkapi dengan perkhidmatan Microsoft AutoUpdate terbina dalam yang memuat turun definisi virus terkini dari masa ke semasa.
Microsoft telah mengumumkan ciri-ciri baru yang datang ke Mac. Oleh itu, aplikasi keselamatan ini akan menyertakan pilihan untuk melumpuhkan atau mendayakan keupayaan seperti perlindungan masa nyata, perlindungan awanan, dan penyerahan sampel secara automatik. Turut disertakan adalah fungsi menambah pengecualian untuk fail dan laluan. Seterusnya, aplikasi ini turut menyediakan menu untuk memeriksa secara manual kemas kini keselamatan pintar.
Maklumat lanjut tentang cara mendayakan (enable) ciri pratonton Microsoft Defender ATP boleh didapati melalui dokumen Microsoft ini.













