Beberapa keadaan di dalam sesebuah sistem operasi boleh menjadi punca mengapa prestasi komputer anda menjadi lembab. Ada masanya ciri-ciri tersedia di dalam sistem tersebut menjadi punca utama kelembapan tersebut.

Microsoft menerusi perkongsian halaman sokongannya berkongsikan tips-tips meningkatkan prestasi Windows 11 atau Windows 10. Dua ciri yang dinyatakan tersebut melibatkan penyegerakkan fail simpanan antara yang disimpan setempat dengan awanan dan satu lagi ciri melibatkan animasi antaramuka.


Untuk ciri penyegerakkan fail pengguna tersebut ia melibatkan perkhidmatan OneDrive yang tersedia di dalam Windows 11 dan Windows 10. Penyegerakkan tersebut boleh mengakibatkan prestasi melibatkan pengendalian fail terlalu lembab pada PC tersebut terutamanya apabila menggunakan rangkaian yang perlahan.

Cara mengatasi isu tersebut boleh dilakukan dengan mematikan buat sementara perkhidmatan OneDrive. Secara lalai, ia sedia dihidupkan kerana ia bertujuan memudahkan pengguna mempunyai sandaran fail di awanan untuk mengurangkan risiko pengguna kehilangan fail jika storan setempat rosak.

Selain isu penyegerakkan OneDrive, Microsoft turut menyatakan beberapa kesan visual Windows 11 boleh menyebabkan PC menjadi lembab. Anda boleh mematikan kesan tersebut bagi meningkatkan prestasi penggunaan PC jika ia dirasakan terlalu berat.

Ini kerana kesan visual seperti animasi dan bayang-bayang menggunakan sumber sistem tambahan boleh melembapkan PC. Ia amat ketara terutamanya PC yang mempunyai jumlah RAM yang kecil.

Untuk mematikan kesan visual tersebut, anda boleh menaipkan “Performance” di dalam Windows Search, dan pilih “Adjust the appearance and performance of Windows”. Selepas kotak dialog Performance Options dibuka, pilih “Adjust for best performance” di bawah tab Visual Effects.

Tinggalkan komentar