Sebagaimana yang diketahui, pengeluaran antara-bank di ATM pada kebiasaannya dikenakan cas bayaran bergantung pada bank berkenaan.
Maybank telah menetapkan pengecualian bayaran antara-bank RM1 pada mana-mana terminal layan diri miliknya bermula pada minggu depan, Isnin, 6 April 2020. Pengecualian ini akan dilaksanakan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
Menurut laporan dari Bernama, langkah ini dilaksanakan bagi memudahkan pelanggan mana-mana bank untuk melakukan pengeluaran tunai di ATM yang terdekat. Langkah ini juga membantu orang ramai untuk tidak keluar jauh dari rumah masing-masing sepanjang tempoh ini.
Maybank pada ketika ini memiliki lebih dari 2900 terminal layan diri di seluruh negara, termasuk mesin pendeposit tunai dan ATM. Jumlah yang amat besar ini menjadikan mesin ATM dan CDM Maybank lebih mudah diketemukan di hampir seluruh negara.
Setakat ini hanya Maybank sahaja yang mengumumkan langkah pengecualian caj transaksi antara-bank.













