Awal minggu ini Bank Negara Malaysia telah meminta bank-bank tempatan berhenti menggunakan SMS OTP bagi tujuan melindungi pengguna dari penipuan kewangan. Rentetan dari itu, Maybank telah mengumumkan penamatan penggunaan SMS OTP pada pertengahan tahun depan. Selepas itu, bank berkenaan hanya menerima pengesahan transaksi dalam talian melalui Secure2u sahaja.

Berdasarkan pengumuman yang dihantarkan kepada media, Maybank menyatakan pihaknya akan berpindah sepenuhnya kepada penggunaan Secure2u menjelang Jun 2023. Peralihan ini turut melibatkan pengesahan pembukaan akauan baharu dan juga mengubah tetapan akaun dan maklumat peribadi, mengesahkan transaksi dalam talian dan pemindahan wang.

Selain itu, Maybank juga memaklumkan buat masa ini pihaknya hanya membenarkan pengguna mengguna satu peranti sahaja untuk tujuan pengesahan Secure2u. Jika terdapat satu peranti baharu didaftarkan, pengguna akan dimaklumkan perubahan tersebut menerusi SMS, emel dan ‘push notifications’.

Minggu lepas, Maybank telah mengumumkan peralihan pengaktifan Secure2u dari aplikasi M2U MY ke MAE bermula dari 26 September dan dikhususkan untuk pengaktifan baharu. Pihak bank berkenaan juga menggesa para pengguna untuk beralih ke MAE. Bagi pengguna yang sudah pun mengaktifkan Secure2u pada aplikasi M2U MY, anda boleh terus menggunakannya selagi menggunakan peranti yang sama.

Tinggalkan komentar