Maxis secara rasminya memperkenalkan Voiice Over Wi-Fi (VoWiFi) kepada pelanggan pascabayarnya serta Hotlink bermula sejak semalam. Fungsi yang juga dikenali sebagai Wi-Fi Calling pada sesetengah telefon Apple iPhone dan Samsung Galaxy.
Bagaimanapun, ketersediaan fungsi ini bergantung pada model telefon yang anda gunakan. Maxis menyatakan buat masa ini fungsi berkenaan hanya ditawarkan pada peranti-peranti Android tertentu tanpa menyatakan secara spesifik menerusi laman soalan-soalan lazimnya.
Selain itu, Maxis juga tidak disenaraikan sebagai penyedia yang menyokong fungsi Wi-Fi Calling di dalam laman web rasmi Apple. Bagaimanapun, sebahagian pengguna Maxis yang menggunakan iPhone menyatakan fungsi berkenaan kini telah didapati pada telefon milik mereka.
Ketersediaan VoWiFi untuk pelanggan Maxis adalah sesuatu yang sudah lama dinanti-nantikan. Syarikat telekomunikasi lain seperti U Mobile sudah mula menawarkannya sejak dari 2016, manakala Digi pula pada 2017. Kini, tinggal Celcom sahaja selaku syarikat telekomunikasi mudah alih utama yang masih lagi belum menyediakan sokongan VoWiFi kepada pelanggannya.
Voice over Wi-Fi (VoWiFi) merupakan terma yang biasanya digunakan bagi menerangkan perkhidmatan penghantaran telefoni komersil menggunakan teknologi Suara melalui IP (Voice over IP, VoIP) dari peranti mudah alih yang bersambungan secara Wi-Fi.