Pelanggan-pelanggan Maxis dilaporkan mengalami gangguan perkhidmatan sejak awal pagi ini. Bagaimanapun, punca kepada gangguan tersebut dan tahap kesannya masih lagi belum diketahui.

Khidmat pelanggan Maxis menerusi Twitter dan Facebook telah mengesahkan gangguan tersebut dan kini usaha membaik pulih perkhidmatan sedang giat dijalankan.

Berdasarkan maklumat terkini yang dikongsikan, pihak syarikat telekomunikasi berkenaan menjangkakan tempoh pembaikan mengambil masa sehingga 6 jam atau sehingga jam 5 petang ini.

Sebilangan pengguna Maxis mendakwa rangkaian internet mudah alih secara tiba-tiba menggunakan liputan rangkaian EDGE dengan sebahagian lagi menerima notis “No Service”.

Pun begitu, masalah yang dialami oleh kedua-dua pelanggan prabayar dan pascabayar ini tidak terjadi pada seluruh pelanggan. Sesetengah pelanggan dilaporkan masih boleh menggunakan perkhidmatan seperti biasa.

Buat masa ini Maxis masih lagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan pelanggan-pelanggan yang terjejas akan kembali menerima akses ke perkhidmatan masing-masing secara berperingkat.

Tinggalkan komentar