Pengguna Windows 11 melaporkan terdapat masalah pada aplikasi dan alatan terbina dalam Windows 11 sejak awal November ini. Masalah ini telah diambil maklum oleh pihak Microsoft menerusi satu hantaran di dalam laman Known Issues berkenaan Windows 11.

Microsoft menyatakan sijil digital yang telah tamat tempoh menjadi punca masalah tersebut. Ia telah mengakibatkan sesetengah pengguna tidak boleh menggunakan beberapa aplikasi terbina dalam Windows. Ada juga sesetengah pengguna yang hanya dapat menggunakan sebahagian sahaja aplikasi yang terkesan tersebut.

Antara aplikasi Windows 11 yang terkesan dari masalah sijil digital tamat tempoh ini termasuklah:

  • Snipping Tool
  • Halaman Accounts di dalam aplikasi Settings (berlaku apabila mod S di dalam Windows diaktifkan)
  • Touch Keyboard
  • Voice Typing
  • Pemilih Emoji
  • Input Method Editor
  • Aplikasi Tips

Tidak dinyatakan sama ada aplikasi-aplikasi berkenaan untuk versi Windows 10 turut sama terkesan atau tidak.

Bagi masalah berkaitan Snipping Tool dan mod S di dalam aplikasi Settings, kemaskini pembaikannya sudah pun diterbitkan. Ia merupakan kemaskini build 22000.282 yang sama seperti kemaskini pembaikan untuk masalah prestasi Windows 11 pada PC AMD Ryzen.

Anda boleh membuat semakan menerusi Windows Update dan pasangkan kemaskini pembaikan tersebut bagi mengatasi masalah tersebut. Kemaskini bagi masalah yang lain pula masih lagi sedang diusahakan.

Selain dari masalah yang dinyatakan tersebut, pengguna Windows 11 juga sedang berdepan dengan isu yang melibatkan masalah berkaitan Context Menu dan juga File Explorer.

Tinggalkan komentar