Salah satu ciri unik dan menarik sistem operasi Windows 10 adalah pada bar cariannya (search bar). Ciri unik berkenaan bagaimanapun dilaporkan mengalami masalah yang mengakibatkan keputusan carian yang dibuat memaparkan kotak kosong.

Oleh kerana fungsi carian ini merupakan salah satu ciri yang paling kerap digunakan di dalam Windows 10, masalah ini boleh mengganggu tahap kepuasan pengguna.

Sesetengah pengguna melaporkan masalah ini disebabkan oleh integrasi dari Bing. Misalnya, seorang pengguna melalui sebuah pos di dalam laman forum Reddit telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan melumpuhkan Bing di dalam Start Menu Windows 10. Manakala seorang pengguna di dalam Twitter pula menyatakan masalah ini dapat diselesaikan dengan melakukan restart Windows Explorer melalui Task Manager.

Walaubagaimanapun, masalah ini telah diambil maklum oleh Microsoft dan pembaikannya telah pun disediakan untuk sebahagian pengguna. Menurut laporan dari BBC, pengguna yang terlibat boleh melakukan restart terhadap PC berkenaan supaya masalah tersebut boleh dibaiki.

Tindakan segera Microsoft mengatasi masalah ini pastinya disambut baik oleh sebilangan besar penggunanya memandangkan fungsi carian adalah fungsi yang paling kerap digunakan.

Sumber berita diperoleh dari BBC

Tinggalkan komentar