Malaysia Airlines baru-baru ini telah mengumumkan larangan daftar masuk bagasi bagi model-model MacBook Pro 15-inci keluaran antara September 2015 sehingga Februari 2017.

Larangan ini dikuatkuasakan berikutan isu yang terdapat pada bateri model-model MacBook berkenaan yang menyebabkan Apple terpaksa memanggil semula sejak dari Jun lalu.

Menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan melalui laman web rasmi Malaysia Airlines, para pengguna bagaimanapun masih lagi dibenarkan untuk membawa MacBook Pro berkenaan ke kabin. Bagi pengguna yang telah membuat penukaran bateri bagi MacBook Pro yang terlibat, dokumen atau resit penukaran perlu dibawa sebagai bukti.

Selain Malaysia Airlines, syarikat penerbangan tempatan lain termasuk Air Asia dan Malindo Air turut mengeluarkan perintah larangan yang sama. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat penerbangan ini lebih ketat peraturannya dengan MacBook Pro terbabit langsung tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam pesawat.

Pengguna-pengguna MacBook Pro boleh menyemak status peranti masing-masing melalui laman rasmi Apple Malaysia. Bagi pengguna yang terkesan, penukaran bateri boleh dilakukan secara percuma.

Sumber berita diperoleh dari Malaysia Airlines

Tinggalkan komentar