Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah mengumumkan akan membawa masuk ventilator-ventilator dan lebih dari 10 juta topeng muka beberapa hari lagi dari Shanghai dan Guangzhou, China. Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pengangkutan dan Pharmaniaga Bhd.
“Bersama dengan syarikat penerbangan sekutu kami di bawah Kumpulan Penerbangan Malaysia, kami membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menyediakan ruang kargo yang khusus dalam rangkaian domestik dan antarabangsa kami serta dalam rangkaian pesawat kargo global MABkargo untuk pengangkutan peralatan dan bekalan perubatan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail.
Malaysia Airlines Bhd, bersama-sama Firefly dan MASwings akan menggerakkan peralatan dan kakitangan kesihatan di dalam negara merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Kapten Izham Ismail turut menambah, ketiga-tiga syarikat penerbangan berkenaan juga telah menyediakan pesawat-pesawat di di Lapangan Terbang Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Ia dilaksanakan untuk memulakan langkah menggerakkan dengan cepat petugas dan profesional perubatan serta pesakit bukan COVID-19 untuk membantu usaha pengurusan kapasiti/sumber KKM di seluruh Malaysia.
MABkargo juga turut membawakan bekalan peralatan perubatan yang mencukupi dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. Turut dibawa 300,000 topeng muka pakai buang, 50,000 pakaian pelindung dan 8,000 pakaian pelindung dengan topeng mata daripada Yayasan Jack Ma dan Yayasan Alibaba dari Shanghai ke Kuala Lumpur.
Imej dari Wikimedia Commons













