Pelbagai manfaat dapat diperoleh bagi majikan dan pekerja yang dibenarkan bekerja dari rumah. Antaranya tidak perlu menghadap kesesakan jalan raya setiap hari dan boleh memantau keadaan anak-anak di rumah ketika menyiapkan kerja hakiki.
Bagaimanapun, terdapat satu kelemahan besar dalam pelaksanaan arahan bekerja dari rumah ini apabila rumah anda sendiri sudah seperti pejabat. Ia menjadi lebih sukar apabila anda boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk menyiapkan tugasan yang diarahkan melalui komputer di rumah anda. Anda seterusnya tidak boleh mengasingkan antara waktu anda menyiapkan tugasan dengan waktu anda meluangkan masa bersama keluarga.
Oleh yang demikian, kerajaan Portugal telah mengambil langkah yang lebih dramatik dalam meningkatkan keseimbagan waktu bekerja dan kehidupan warga kerjanya. Satu rang undang-undang baharu telah dimaktubkan pada Jumaat lalu yang mengenakan tindakan penalti terhadap majikan yang menghubungi pekerja di luar waktu pejabat.
Ini bermakna, para pekerja tidak perlu lagi membalas emel atau mesej WhatsApp yang diterima dari majikan ketika sedang menyiapkan juadah makan malam untuk keluarga. Para pekerja juga tidak perlu stres untuk menyiapkan laporan di hujung minggu ketika sedang sibuk menguruskan kenduri tahlil doa selamat.
Rang undang-undang baharu ini juga menetapkan para majikan perlu menanggung kos yang diperlukan oleh pekerja yang bekerja dari rumah seperti bil elektrik dan internet.
Undang-undang keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik
Selain itu, para majikan juga dilarang memantau para pekerja masing-masing apabila arahan bekerja dari rumah dikeluarkan. Dalam pada masa yang sama, ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil dibenarkan untuk bekerja dari rumah pada bila-bila masa tanpa perlu mengikut jadual yang dirancang.
Menurut Menteri Perburuhan dan Keselamatan Sosial Portugal, Puan Ana Mendes Godinho menegaskan:
“Pandemik ini telah mempercepatkan keperluan kerajaan untuk mengawal selia terhadap apa yang kerajaan wajib kawal selia,”
Pihak kementerian berkenaan juga berharap akta baharu ini akan menjadi negara Portugal lebih berdaya saing dalam pasaran kerja. Selain itu, akta ini juga mampu minat warga kerja jarak jauh untuk menyumbangkan tenaga di negara kelahiran Cristiano Ronaldo ini.
Selain Portugal, beberapa negara juga sudah pun menguatkuasakan akta keseimbangan waktu bekerja di kalangan warga kerja negara masing-masing. Perancis pada tahun 2016 telah meluluskan rang undang-undang yang menghalang pihak majikan dari menghantar emel kepada pekerja selepas waktu pejabat.
Ahli Dewan Negara Perancis, Benoit Hamon memberitahu pemberita BBC menerusi satu wawancara pada 2016 berkenaan akta ini:
“Kesemua kajian yang dijalankan menunjukkan kadar tekanan kerja pada zaman ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dahulu dan ia sentiasa berlaku hampir setiap hari.
“Pekerja secara zahirnya meninggalkan pejabat, tetapi jiwanya masih di pejabat. Mereka terikat pada benda semacam tali elektronik – bagaikan anjing. Mesej, teks, dan emel – majikan menggunakannya untuk menakluk kehidupan seseorang individu hingga merosakkan jiwanya,”













