Baru-baru ini terdapat sejumlah lukisan skematik yang mendakwa mempunyai kaitan dengan siri iPhone 14 telah tertiris di Twitter. Maklumat ini dilihat mempunyai persamaan dengan khabar-khabar angin mengenai iPhone 14 yang tersebar baru-baru ini.

Dipetik dari laman forum di Weibo, lukisan CAD yang tidak bertajuk ini dikatakan telah mendedahkan keempat-empat model iPhone 14 yang akan dilancarkan kelak. Ia dijangkakan akan hadir dalam bentuk iPhone 14 Pro Max, iPhone 14 Pro, iPhone 14 Max dan iPhone 14.

Berdasarkan lukisan CAD berkenaan, iPhone 14 Pro Max dan iPhone 14 Max akan hadir dalam bentuk saiz ukuran yang sama. Hal yang sama turut dilihat terdapat pada  iPhone 14 Pro dan iPhone 14. Bagaimanapun, kedua-dua varian iPhone 14 Pro berkenaan dilihat akan menawarkan saiz kamera belakang yang lebih besar.

Dijangkakan, varian iPhone 14 Pro ini kelak akan menampilkan sensor kamera 48MP buat pertama kalinya. Namun, ia bukanlah 48MP dalam erti kata sebenar. Sebaliknya ia adalah sensor 12MP yang memanfaatkan teknologi quad-binning sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan telefon pintar pada hari ini.

Salaj satu daripada imej berkenaan juga menunjukkan rekaan tanpa takuk sebagaimana yang diperkatakan selama ini. Apple juga dikatakan akan melaksanakan sistem Face ID dan kamera dibawah paparan menerusi model terbaru ini kelak.

Walau apa pun jua, maklumat ini masih lagi belum dapat dibuktikan kesahihannya selagi tiada kata putus dari sumber rasmi berkenaan iPhone ini diumumkan oleh Apple.

Tinggalkan komentar