Persatuan Teknologi Keadaan Pepejal (Solid State Technology Association atau JEDEC) secara rasminya telah mengumumkan kewujudan teknologi memori terbaru, LPDDR5. Piawaian memori terbaru ini telah disasarkan untuk menggantikan teknologi LPDDR4 yang kini sedang digunakan sebagai piawaian semasa.

Dari segi prestasinya, RAM LPDDR5 telah digandakan prestasi kadar pemindahan datanya kepada 6400MT/s berbanding LPDDR4 yang menawarkan kadar pemindahan datanya pada 3200MT/s. Ia juga hadir dengan senibina 16 bank ingatan boleh diatur cara dan seni bina berbilang-klok yang telah pun direkabentuk semula.

Apa yang lebih penting, format memori terbaru ini turut menjadikannya lebih jimat tenaga melalui ciri terbarunya, Data-Copy dan Write-X. Data-Copy secara asasnya membenarkan pemindahan data boleh dilakukan melalui satu pin I/O berbanding berbilang pin I/O. Manakala operasi berasaskan arahan Write-X pula membenarkan peranti-peranti memancarkan nilai 1 dan 0 ke alamat yang lebih terperinci.

Tidak ketinggalan, LPDDR5 turut memperkenalkan sokongan Kod Pembetulan Ralat Pautan (Link Error Correcting Code, ECC) di peringkat antaramuka anda cipset dan DRAM. Setakat apa yang dikongsikan, fungsi ini ditujukan khusus untuk kegunaan industri automotif.

Terdahulu, pihak Samsung pernah mengumumkan kewujudan teknologi LPDDR5 keluarannya sendiri pada Julai tahun lalu. Pada ketika itu, Samsung hanya menyatakan teknologi berkenaan masih lagi belum bersedia untuk memasuki peringkat pengeluaran. Bagaimanapun, melalui pengumuman rasmi berkenaan teknologi LPDDR5 ini terdapat kemungkinan besar teknologi ini mula digunapakai pada peranti-peranti seawal dalam tahun ini juga.

Sumber berita diperoleh dari Bussiness Wire

Tinggalkan komentar