Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengumumkan pemandu-pemandu yang berhasrat ingin memandu untuk perkhidmatan seru-pandu dikehendaki supaya mendaftar untuk Lesen PSV (Public Service Vehicle) bermula 1 April ini. Permohonan ini turut merangkumi mengikuti modul latihan 6 jam dengan kadar bayaran yang ditetapkan pada RM200.

Menurut JPJ, pemandu-pemandu boleh mendaftar melalui Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (EHO) yang diiktiraf oleh JPJ.

Pelaksanaan ini turut merangkumi seluruh pemandu dan kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan awam seterusnya menjadikan kenderaan yang digunakan kegunaan seru-pandu sama seperti teksi dan kereta sewa.

Pemandu yang berhasrat untuk menawarkan khidmat seru-pandu perlu memiliki lesen PSV sebagaimana yang tertakluk di dalam Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Untuk kenderaan yang digunakan pula, status Kenderaan Persendirian Individu perlu ditukarkan kepada status Kenderaan Persendirian Seru-Pandu. Kenderaan yang berusia lebih dari 3 tahun selepas ianya didaftarkan perlu menjalani ujian pemeriksaan di PUSPAKOM sebelum penukaran status kenderaan dilakukan.

Menurut JPJ, pemeriksaan boleh dilakukan di 54 buah pusat pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh negara termasuk 8 outlet mudah alih PUSPAKOM yang turut menyediakan pemeriksaan untuk kenderaan seru-pandu.

Keperluan khas

Kenderaan-kenderaan yang dibenarkan untuk digunakan sebagai seru-pandu termasuklah, kereta penumpang, jip, van, dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan muatan tempat duduk antara 4 hingga 11 orang termasuk pemandu. Trak pikap hanya dibenarkan untuk digunakan di Sabah dan Sarawak sahaja. Semua kenderaan persendirian seru-pandu perlu melekatkan pelekat khas kenderaan seru-pandu yang akan dikeluarkan oleh pihak EHO. Terdapat juga keperluan-keperluan lain dipatuhi seperti alat pemadam api, kit bantuan kecemasan (untuk MPV) dan cermin gelap pada had yang dibenarkan.

Pemandu-pemandu seru-pandu boleh mengemaskini maklumat kenderaan di mana-mana pejabat JPJ dan cawangannya di seluruh Malaysia kecuali UTC bermula 1 April 2019. Pemohon dikehendaki melengkapkan dokumen-dokumen berikut:

  • Borang JPJK8 (Pind. 1/2016)
  • Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1)
  • Laporan pemeriksaan rutin PUSPAKOM (VR1) untuk kenderaan yang berusia 3 tahun dan ke atas
  • Borang Pengesahan e-hailing

JPJ turut menambah peraturan dan panduan baru ini diperkenalkan bagi melindungi keselamatan untuk kedua-dua pemandu dan penumpang termasuk pihak ketiga, terutamanya ketika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pemandu dan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ini bermula 12 Julai 2019.

Sumber berita diperoleh dari The Star

Tinggalkan komentar