Laptop keluaran Xiaomi sudah agak lama hadir ke pasaran selain dari Malaysia. Namun laptop berkenaan hanya kini secara rasminya akan memasuki pasaran tempatan. Bermula dari 6 Jun ini, anda boleh mendapatkan laptop RedmiBook 15 di pasaran.

Laptop berkenaan akan hadir ke Malaysia dalam dua varian dengan salah satunya menawarkan spesifikasi lebih tinggi yang dilengkapkan dengan pemprosesan Intel Core i5-11300H dan SSD 512GB dengan grafik Intel Iris Xe.

Manakala varian yang satu lagi menawarkan Intel Core i3-1115G4, grafik Intel UHD dan storan SSD 256GB. Kedua-dua varian menawarkan RAM DDR4 yang sama iaitu 8GB.

Boleh didapati dengan pilihan warna Charcoal Gray sahaja, RedmiBook 15 turut menampilkan paparan Full HD 15.6-inci. Laptop ini juga dilengkapkan dengan bateri 46Wj yang dikatakan mampu bertahan untuk penggunaan selama 10 jam dengan pengecasannya mampu dipenuhkan pada paras 50% dalam tempoh 33 minit.

RedmiBook 15 menawarkan kamera web 720p yang boleh digunakan bagi tujuan persidangan video dalam talian. Ia juga menawarkan pembesar suara 2W dengan peningkatan kualiti oleh DTS. Ketersambungannya pula terdiri daripada dua port USB 3.0 dan satu port USB 2.0, HDMI 1.4, dan satu bicu kombo audio/mikrofon 3.5mm, pembaca kad flash Realtek RTS5176 dan satu port Ethernet.

Selain itu, laptop ini juga menawarkan satu slot kunci keselamatan Kensington, sokongan Wi-Fi dwi-jalur dan Bluetooth. Untuk harganya pula, varian RedmiBook 15 Intel Core i5 dijual pada harga RM2,799. Manakala varian Core i3 pula boleh didapati pada harga RM2,399.

Bagi pembeli terawal laptop ini, anda boleh mendapatkan RedmiBook 15 Intel Core i5 pada harga RM2,499 dan RM1,899 bagi varian RedmiBook 15 Intel Core i3 dari 6 Jun hingga 30 Jun 2022 selagi stok masih ada. RedmiBook 15 boleh didapati menerusi kedai rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee serta kedai-kedai jualan fizikal rasminya di seluruh negara.

Tinggalkan komentar