Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan skim baharu i-Legasi. Skim ini membolehkan pencarum berusia 55 tahun dan ke atas mewariskan simpanan persaraan mereka kepada anak-anak.
Perancangan inisiatif ini dikongsikan semasa sesi taklimat dividen KWSP 2025 yang berlangsung di Shah Alam Sabtu lalu.
Skim baharu ini dirangka khas untuk memfasilitasi proses pemindahan dana persaraan secara terus daripada akaun ibu bapa ke dalam akaun anak-anak.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan kemudahan pemindahan ini terhad dan tertakluk hanya kepada ahli KWSP yang sudah melepasi syarat kelayakan untuk membuat pengeluaran simpanan persaraan mereka.
Menurut Ahmad Zulqarnain Onn, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, skim ini akan membolehkan ahli memindahkan simpanan secara merentas generasi (intergenerationally) kepada anak-anak mereka.
“Buat masa ini, jika kita mahu menambah sebarang wang untuk anak-anak, kita perlu membayarnya daripada akaun sendiri. Skim ini akan membolehkan ahli memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka secara terus ke dalam akaun anak-anak mereka” ujar Sazaliza Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi KWSP.
Pengumuman rasmi berkenaan pelancaran inisiatif ini berserta butiran pelaksanaannya akan dibuat oleh pihak pengurusan KWSP dalam masa terdekat.













