Apple kini sedang memperluaskan operasinya di India dengan separuh dari pengeluaran iPhone akan dilakukan di negara berkenaan menjelang tahun 2027. Rentetan dari itu, terdapat pula laporan baharu yang menyatakan Apple telah memulakan pengeluaran komponen AirPods di India. Ini merupakan sebagai sebahagian dari rancangan memindahkan operasi pengeluarannya keluar dari China.

Menurut laporan oleh Bloomberg, unit pengeluarannya di India yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat telah mula membuat penghantaran bekas plastik penyimpan AirPods ke China dan Vietnam. Kedua-dua negara berkenaan merupakan negara pengeluar produk Apple AirPods dengan Vietnam menjadi salah sebuah negara yang menerima manfaat besar setelah Apple berpindah keluar dari China.

Langkah berpindah keluar ini mula dilaksanakan oleh Apple susulan gangguan dari perintah kawalan pergerakan COVID-19 di China yang berlaku secara kerap. Selain itu, sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat terhadap China juga mengganggu operasi pengeluar sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Menurut MacRumors, pembekal Apple yang berpangkalan di China sedang menunggu kelulusan kerajaan India untuk memulakan pengeluaran di negara berkenaan. Setakat ini, hanya 14 syarikat dari China yang telah menerima kelulusan tersebut.

Tinggalkan komentar