Seorang pegawai kerajaan di India telah digantung tugas selepas bertindak mengeringkan sebuah kolam takungan air demi mendapatkan telefon pintarnya yang terjatuh ke dalamnya. Telefon pintar Samsung Galaxy S23 Ultra milik beliau dipercayai telah terjatuh gara-gara mengambil swafoto (selfie) di tepi kolam tersebut.

Rajesh Vishwas, 32, ketika kejadian sedang berkelah bersama rakan-rakan beliau pada minggu lepas di kolam takungan air Paralkot di negeri Chhattisgarh, timur India, menurut laporan akhbar India Times.

Terdesak untuk mendapatkan kembali telefon pintar baharunya yang berharga RM5,699, Rajesh telah meminta pertolongan dari orang-orang kampung untuk menyelam ke dasar kolam tersebut dalam usaha mencarinya.

Usaha pencarian sepanjang dua hari tersebut telah menemukan jalan buntu hingga memaksa beliau memutuskan untuk menyewa pam air berkuasa diesel bagi tujuan mengeringkan seluruh kolam tersebut.

Galaxy S23 Ultra milik beliau akhirnya telah berjaya diketemukan selepas lebih 2.1 juta liler air telah dibuang dari kolam tersebut. Mengikut pengiraan media di India, jumlah tersebut mampu mengairkan ke sejumlah 1,500 ekar tanah pertanian.

Apa yang lebih mengecewakan terutamanya penduduk-penduduk yang terjejas dengan tindakan terburu-buru beliau tersebut, telefon pintar berkenaan tidak lagi boleh berfungsi. Hal ini kerana Galaxy S23 Ultra milik beliau telah terendam di dalam air untuk tempoh lebih dari dua hari pada kedalaman lebih kurang 2 meter.

Rajesh mendakwa telefon pintar beliau tersebut mempunyai data sulit kerajaan dan perlu diselamatkan dengan apa jua cara sekalipun. Namun begitu, tindakan beliau tersebut jelas didapati menyalah gunakan kuasanya sebagai pegawai kerajaan dan mengeluarkan air dari kolam takungan kerajaan tanpa kebenaran.

Tindakan penggantungan beliau telah dikenakan oleh pihak atasan beliau atas tindakan tersebut. Kolam takungan air tersebut amat penting bagi kegunaan penduduk-penduduk setempat dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan cuaca panas melampau sedang melanda.

Tinggalkan komentar