Kelulusan menerusi Kod Respon Pantas atau ‘Quick Response Code’ (Kod QR) aplikasi Gerak Malaysia diperlukan bagi perjalanan rentas negeri. Aplikasi tersebut perlu terlebih dahulu dikemaskini ke versi lebih terkini, 2.5 bagi mendapatkan sokongan fungsi tersebut.
Pengguna Android boleh mula mengemaskini aplikasi Gerak Malaysia ke versi 2.5 bermula pada hari ini. Manakala pengguna iOS aplikasi Gerak Malaysia pula boleh melakukannya bermula pada tengah malam ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed;
“Sebelum ini pemohon hanya perlu mendaftar dan membuat permohonan perjalanan rentas negeri di aplikasi Gerak Malaysia tanpa perlu ada kelulusan.
“Namun kini pemohon perlu mengemas kini aplikasi ke versi terkini bagi menjana kod QR sebagai bukti dan kelulusan permohonan.
“Ini kerana daripada lebih 503,000 pemohon, hanya terdapat 147, 516 pengguna membuat pengesahan untuk membuat pergerakan antara negeri setakat ini,”
Tambah beliau lagi, kod QR tersebut perlu dijana bagi mengelakkan salah guna perjalanan rentas negeri tanpa permohonan atau tanpa kelulusan.
Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.
Beliau memaklumkan, kod QR tersebut perlu dijana sebelum perjalanan dilakukan pada hari yang telah ditetapkan. Ini kerana kod tersebut hanya sah untuk tempoh 24 jam sahaja.
Menurut Encik Al-Ishsal Ishak lagi;
“Mereka yang mempunyai masalah untuk memuat turun aplikasi Gerak Malaysia, perlu ke balai polis berhampiran untuk membuat permohonan secara manual.
“Setakat ini, sebanyak 13,069 permohonan secara manual diterima di seluruh negara dan pemandu perlu memastikan membawa sama surat kelulusan ketika membuat perjalanan.
“Hari ini adalah hari terakhir untuk semua permohonan perjalanan rentas negeri melalui aplikasi Gerak Malaysia dan secara manual,”













