PUTRAJAYA: Satu lagi kluster baharu COVID-19 membabitkan pekerja warga asing dikesan di Setia Alam, minggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster berkenaan dikesan pada 6 Mei lalu selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima notifikasi dari sebuah hospital swasta.

Beliau berkata, hospital swasta itu mengesan tiga kes yang disahkan positif COVID-19 ketika menjalankan saringan terhadap pekerja sebuah tapak pembinaan di Setia Alam yang bakal kembali bertugas.

“KKM ingin memaklumkan satu kluster baharu yang membabitkan pekerja bukan warganegara Malaysia di Setia Alam.

“Ketiga-tiga kes positif itu membabitkan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman yang sama dengan 18 orang lain.

“Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat ketiga-tiga kes sudah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 12 daripada 28 individu yang disaring untuk COVID-19 didapati positif.

Beliau berkata, kesemua kes-kes itu membabitkan warganegara Bangladesh.

“Sembilan kes pula didapati negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan masih kluster ini juga masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan seramai 28 kes baharu positif COVID-19 membabitkan Kluster Pedas, Negeri Sembilan, setakat jam 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif membabitkan kluster berkenaan seramai 88 kes.

Katanya, seramai 81 daripada mereka adalah warganegara Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

“Kes positif kluster ini membabitkan 81 kes bukan warganegara iaitu 33 kes warga Nepal; 26 kes warga Bangladesh; 11 kes warga Indonesia; dan 11 kes warga Myanmar.

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya.

Tinggalkan komentar