Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) akan kembali untuk edisi ke-11 , berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026. Dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), acara mobiliti terulung negara ini akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Dengan tema ‘Beyond Mobility’, pameran selama 10 hari ini menyasarkan untuk menarik 300,000 pengunjung dan akan meliputi lapan dewan pameran.
KLIMS 2026 akan mempamerkan inovasi terkini yang membentuk masa depan pengangkutan. Pameran ini akan memberi tumpuan kepada pelbagai kemajuan teknologi, termasuk elektrifikasi, tenaga alternatif, dan penyelesaian mobiliti pintar. Ia juga bermatlamat untuk memperkukuh peranannya sebagai pemangkin bagi kerjasama industri dan penglibatan pengguna.
Fokus pada elektrifikasi, infrastruktur pintar
Penganjuran acara ini adalah selari dengan usaha Malaysia untuk membangunkan ekosistem mobiliti rendah karbon dan berteknologi tinggi. Inisiatif ini dipacu oleh strategi nasional yang menumpukan kepada elektrifikasi, infrastruktur pintar, dan kerjasama awam-swasta.
KLIMS 2026 dijangka menjadi platform utama untuk menghimpunkan inovator, pemimpin industri, dan pengguna bagi membentuk peranan Malaysia sebagai hab serantau untuk mobiliti generasi baharu.
“KLIMS 2024 telah mencatat kejayaan besar dengan tarikan lebih 183,000 pengunjung dan penampilan dari lebih 70 jenama automotif dan mobiliti. Untuk KLIMS 2026 tahun depan yang bertemakan ‘Beyond Mobility’, kami menjangkakan lebih banyak pameran daripada jenama-jenama hebat yang disasarkan untuk khalayak yang lebih luas, dan kami harap dapat memperluas pemahaman serta imaginasi rakyat Malaysia terhadap inovasi, kelestarian dan potensi mobiliti yang tidak terbatas,” kata Encik Mohd Shamsor bin Mohd Zain, Presiden Malaysian Automotive Association (MAA).
Menegaskan skala pameran akan datang, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Encik Richard Teo, berkata KLIMS 2026 akan melangkaui pameran statik. “KLIMS 2026 akan menjadi pengalaman yang… menggabungkan demonstrasi teknologi secara langsung, peluang jaringan dan pameran interaktif yang menghimpunkan jenama global, inovator tempatan dan pengguna. Pameran ini juga akan berlangsung selama 10 hari, dan kami sedang giat memasarkan ruang pameran merentasi lapan dewan menjadikan KLIMS 2026 edisi terbesar kami setakat ini,” tambah beliau.
Tarikan Utama di KLIMS 2026
Pameran edisi ke-11 ini akan kembali dengan skala yang lebih besar dan pelbagai tarikan baharu:
- Skala Terbesar: Acara ini akan berlangsung di MITEC, pusat pameran terbesar di Malaysia, merentasi lapan dewan pameran.
- Jenama Terkemuka: Antara jenama yang telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk AION, Audi, BMW, BYD, DENZA, GAC, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Mazda, MG Motor, Nissan, Perodua, Proton, Proton e.MAS, smart, Toyota, Volkswagen, XPENG dan Zeekr. Lebih banyak jenama dijangka akan diumumkan kelak.
- Aktiviti untuk Semua: Pelbagai tarikan dirancang termasuk pameran eksklusif model ‘diecast’, barang edisi khas, persembahan langsung, perlumbaan e-sukan, pandu uji berhalangan, perhimpunan kelab kereta, dan trak makanan.
- Kemasukan Percuma Hari Bekerja: KLIMS 2026 akan memperkenalkan kemasukan percuma kepada orang awam pada hari bekerja, tidak termasuk hujung minggu dan cuti umum.
- Acara Sampingan: Satu acara larian, KLIMS Run 2026, turut akan dianjurkan selaras dengan tema ‘Beyond Mobility’.
- Sokongan VMY 2026: Pameran ini merupakan acara berprestij di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) anjuran Tourism Malaysia.
KLIMS 2026 diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia dan meneruskan perkongsian strategik bersama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Acara ini turut disokong oleh Automotive Federation Malaysia (AFM), Motorcycle and Scooter Assemblers and Distributors Association of Malaysia (MASAAM), dan Malaysian Automotive Component Parts Manufacturers Association (MАСРМА).













