Sejenis kerentanan yang mampu melakukan emel forward ke akaun emel lain telah ditemukan oleh pasukan penyelidik keselamatan Google pada peranti Samsung. Sebagai sistem operasi yang lebih terbuka sifatnya berbanding iOS, Android sememangnya lebih terdedah dengan ancaman keselamatan berbanding sistem operasi lain,.
Sesetengah pengeluar telefon pintar seperti Samsung, LG dan sebagainya akan mengubahsuai kod sistem operasi Android untuk mensesuaikannya dengan peranti keluaran syarikat-syarikat berkenaan.
Google sedia maklum bahawa terdapat sesetengah kes di mana kod-kod yang digunakan ini amat merbahaya untuk disalahgunakan oleh para penggodam.
Baru-baru ini, sekumpulan pakar penyelidik keselamatan Google di bawah Project Zero telah menguji tahap keselamatan Samsung Galaxy S6 Edge dan telah menemukan 11 jenis kerentanan wujud pada peranti berkenaan.
Samsung memaklumkan telah mengatasi lapan dari sebelas masalah tersebut melalui kemaskini yang diterbitkan pada Oktober baru-baru ini. Menurutnya, kerentanan selebihnya akan diatasi melalui satu kemaskini yang bakal diterbitkan dalam bulan ini.
Antara peranti yang bakal menerima kemaskini keselamatan tersebut termasuklah model-model Samsung Galaxy S, Galaxy Note dan Galaxy Tab.
Salah satu kerentanan berkenaan mampu melakukan emel forward ke akaun emel lain tanpa pengetahuan pengguna. Terdapat juga sesetengah kerentanan boleh menjadikan fail-fail di dalam sistem rosak. Apa yang merisaukan pihak Google adalah kerentanan ini boleh disalahgunakan dengan cara yang amat mudah sebagaimana yang dimaklumkan melalui kenyataan di laman blog Project Zero.
Sumber berita diperoleh dari Fortune, Imej diperoleh dari Reuter













