Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan proses kemasukan pelajar-pelajat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2020/2021 akan berjalan seperti biasa.
Proses permohonan melalui sistem UPUOnline untuk memasuki ke IPTA masih lagi dibuka sehingga 17 April 2020.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT);
“Tawaran dijangka dibuat pada 3 Jun 2020 untuk calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada 18 Ogos 2020 bagi calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf. IPTA dijangka menerima kemasukan pelajar baharu tahun ini ke program asasi dan diploma termasuk Matrikulasi pada bulan Julai/Ogos 2020 dan Program Sarjana Muda pada Oktober 2020.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam telah mengumumkan penundaan tarikh peperiksaan SPM dan STPM tahun ini ke suku pertama tahun 2021.
Lulusan peperiksaan berkenaan akan memasuki IPTA pada tahun hadapan bagi Sesi Akademik 2021/2022 yang dijangka pada bulan Julai/Ogos 2021. Ia bagi program asasi dan diploma termasuk matrikulasi dan pada Oktober 2021 bagi program ijazah.













