Sebahagian pengguna-pengguna Windows 10 melaporkan kemaskini kedua Windows 10 yang dimuatkan bersama-sama di dalam Patch Tuesday bulan ini telah menyebabkan masalah.
Berdasarkan laporan, pepijat di dalam kemaskini KB4532693 telah menyebabkan profil pengguna dan data-data berkaitannya telah disorokkan pada sesetengah sistem Windows 10.
Masalah pada kemaskini KB4532693 telah dilaporkan melalui laman forum Microsoft (pautan 1, 2, 3, 4), Twitter, Reddit, dan laman sokongan teknikal seperti AskWoody, Bleeping Computer, dan BornCity.
Sebahagian pengguna melaporkan selepas memasang kemaskini berkenaan, profil asal Windows 10 milik akaun mereka tidak dapat dilihat dan juga diakses. Selain itu, pengguna juga terpaksa melog masuk ke profil kosong atau default Windows 10 dengan data-data di dalam profil pengguna tidak diketemukan. Data yang dimaksudkan termasuklah aplikasi yang dipasang, penghias latar desktop, fail-fail di dalam desktop, muat turun dan dokumen-dokumen lain.
Bagaimanapun, para pengguna Windows 10 dinasihatkan supaya jangan lekas panik kerana data tersebut masih lagi ada dan ianya cuma ‘disorokkan’ sahaja. Fail berkenaan masih lagi wujud pada storan pengguna, cuma ia telah dinamakan dengan extension .000 atau .bak.
Kemaskini KB4532693 Windows 10 jadi punca
Laman Bleeping Computer melaporkan, masalah pepijat ini berpunca dari prosedur pemasangan KB4532693. Ia berlaku kerana aplikasi perkhidmatan Windows Update telah mewujudkan satu profil sementara bagi menguruskan prosedur pemasangan, namun tidak membuangkannya sebaik sahaja proses pemasangan KB4532693 selesai dilakukan. Ini telah mengakibatkan pengguna secara tidak sengaja dilog masuk ke profil akaun sementara berkenaan.
Terdapat cara untuk mendapatkan semula profil berkenaan, namun langkah-langkahnya agak rumit dan mungkin boleh menyebabkan data pengguna tersebut terus hilang.
Cara paling mudah untuk mengatasinya adalah dengan menyahpasang kemaskini KB4532693. Sebahagian pengguna melaporkan telah berjaya kembali ke profil asal Windows 10 PC masing-masing setelah kemaskini bermasalah tersebut.
Bagi pengguna yang menghadapi masalah profil Windows 10 pengguna hilang boleh mengikuti langkah-langkah pembaikan berikut:
- Pergi ke Windows Update melalui kotak carian Windows 10
- Pergi ke View update history
- Pergi ke Uninstall updates
- Klik kanan pada KB4532693 dan pilih ‘Uninstall’