Google baru-baru ini telah mengumumkan kerjasamanya dengan Apple dalam membangunkan teknologi penjejakan kontak COVID-19. Lanjutan dari itu, Google telah menyatakan dari pihaknya akan meluncurkan kemaskini berkenaan melalui Google Play.

Langkah ini bertujuan membolehkan kesemua peranti-peranti Android yang menggunakan versi Android 6 Marshmallow dan ke atas menerima kemaskini tersebut.

The Verge melaporkan kemaskini tersebut akan melaksanakan kedua-dua fasa teknologi penjejakan kontak berkenaan. Fasa pertama pelaksanaan teknologi ini melibatkan peluncuran awal API pada bulan hadapan. Seterusnya, akan mengintegrasikan sistem berkenaan ke dalam sistem operasi pada fasa berikutnya.

Selain ke peranti-peranti Android, Google juga akan membawakan kemaskini penjejakan kontak ini ke peranti-perati lain yang tidak mempunyai akses ke Google Play. Ini termasuklah peranti-peranti seperti Huawei yang kini tidak lagi menggunakan Google Mobile Services.

Bagi telefon-telefon berkenaan, Google akan menerbitkan sebuah rangka kerja (framework) yang boleh direplikakan oleh pengeluarnya. Sama ada para pengeluar berkenaan mahu melakukannya atau tidak, itu bergantung kepada keputusan setiap pengeluar.

Tinggalkan komentar