Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di dalam satu kenyataannya memaklumkan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mempunyai rekod LHDN dan diluluskan tetapi masih belum menerima bantuan diminta supaya mengemaskini maklumat akaun bank.
Maklumat akaun bank penerima boleh dikemaskini melalui aplikasi web https://ez.hasil.gov.my/ci selewat-lewatnya 30 April 2020.
Berita Harian melaporkan langkah ini perlu dilakukan bagi membolehkan bayaran BPN dikreditkan terus ke akaun bank. Bayaran dijadualkan bakal diterima pada bulan Mei.
Penerima BPN juga dinasihatkan agar menggunakan saluran rasmi LHDN bagi urusan pengemaskinian maklumat akaun bank. Selain itu, pihak LHDN juga tidak akan meminta TAC dari penerima untuk menyalurkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Untuk penerima BPN yang tiada rekod data percukaian di dalam LHDN pula, bayaran BPN adalah seperti mana yang telah dinyatakan di dalam ruangan soalan-soalan lazim (FAQ) BPN.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN.
Maklumat-maklumat tepat dari saluran rasmi juga boleh didapati menerusi akaun media sosial rasmi LHDN di Facebook dan juga Twitter.













