YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman terkini berkenaan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyatakan pihak kerajaan akan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi sepanjang tempoh ini.
Sektor-sektor ini telah diperakukan oleh Kabinet berdasarkan senarai yang telah dimuktamadkan oleh jawatankuasa khas berdasarkan cadangan yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah Nasional dan Bank Negara.
Senarai sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi. @AzminAli @limbanhong @lokmanhakim_ali pic.twitter.com/zDKqHLi8aZ
— MITI Malaysia (@MITIMalaysia) April 10, 2020
Berdasarkan senarai yang dikongsikan melalui Twitter rasmi MITI, antara yang tersenarai dibenarkan untuk beroperasi termasuklah kedai elektrik dan elektronik, serta kedai-kedai perkakasan. Selain itu, beberapa sektor automotif terpilih turut dibenarkan beroperasi seperti alat ganti automotif, export CBU dan khidmat selepas jualan.
Turut disertakan adalah kedai dobi dan kedai gunting rambut yang diberikan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh PKP. Bagaimanapun, kesemua sektor-sektor ini diwajibkan mengikuti garis panduan kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, serta waktu beroperasi yang telah ditentukan mengikut pihak berkuasa tempatan masing-masing.
Sektor-sektor yang terlibat ini juga perlu mendapatkan kebenaran dari pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum boleh memulakan operasi. Permohonan boleh dibuat menerusi laman web rasmi MITI bermula dari 13 April 2020.
Imej dari Says













