Touch ‘n Go dijangka akan melancarkan kad fizikal Visa yang boleh dipautkan dengan TNG eWallet dalam masa yang terdekat ini. Bagaimanapun, sesetengah pengguna dilihat boleh membuat pesanan kad berkenaan secara dalam talian menerusi aplikasi TNG eWallet.

Menariknya, kad berkenaan dikatakan akan menjadi kad nirnombor (numberless) pertama di Malaysia, mirip dengan kad GrabPay Mastercard di Singapura dan Apple Card titanium. Ini seterusnya akan meningkatkan ciri keselamatan terutamanya melibatkan angka penting pada kad seperti tarikh luput, maklumat CVV yang kelak hanya boleh diakses dari aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Buat masa ini tidak semua pengguna aplikasi Touch ‘n Go eWallet dapat menemukan fungsi memohon kad berkenaan. Sesetengah pengguna mungkin menemukan satu logo Visa Card pada muka utama aplikasi dan boleh juga diakses pada bahagian Financial Services di dalam bahagian “More”.

Berdasarkan tangkapan layar yang dikongsikan oleh pengguna laman forum Lowyat berkenaan, terdapat tiga kategori kad Visa yang ditawarkan mengikut had transaksi bulanan dan tahunan iaitu Lite, Pro dan Premium.

Permohonan kad Touch ‘n Go Visa menurut sumber akan dikenakan bayaran sebanyak RM10. Untuk penggantian pula akan dikenakan bayaran RM10, manakala yuran tahunan pula sebanyak RM8 akan dikenakan. Pengguna yang ingin membatalkan kad Touch ‘n Go Visa ini bagaimananpun boleh melakukannya secara percuma tanpa sebarang caj.

Dijangkakan, pengumuman rasmi dari Touch ‘n Go akan dibuat tidak lama lagi dan sebahagian pengguna Touch ‘n Go bakal menikmati kaedah pembayaran nirtunai baharu ini kelak.

Tinggalkan komentar