Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengingatkan orang ramai bahawa kad koleksi seperti Pokemon kini diklasifikasikan di bawah tarif “kad permainan” dan tertakluk kepada cukai sekiranya nilai barangan tersebut melebihi RM1,000.

Penjelasan ini dibuat susulan kekeliruan umum mengenai status pelepasan cukai bagi barangan peribadi yang dibawa masuk ke Malaysia, khususnya melibatkan barangan hobi yang bernilai tinggi.

Menurut garis panduan semasa, hampir semua barangan yang dibawa masuk ke Malaysia adalah tertakluk kepada cukai, kecuali beberapa pengecualian spesifik seperti satu liter alkohol, tiga helai pakaian baharu, sepasang kasut baharu, dan bahan makanan dengan nilai tidak melebihi RM150.

Bagi barangan lain, pelepasan cukai hanya diberikan sekiranya nilai keseluruhan barangan tersebut tidak melebihi RM1,000.

Imej dari Pokemon

Bagi pengumpul dan pemain Trading Card Game (TCG), JKDM menegaskan bahawa kad seperti Pokemon dikategorikan sebagai kad permainan.

Ini bermakna, jika nilai kad yang dibawa melebihi had RM1,000, ia akan dikenakan duti import sebanyak 10%, duti eksais 10%, serta cukai jualan (SST) sebanyak 10%.

“Barang peribadi bukanlah jampi serapah yang memberi kekebalan daripada cukai,” tegas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Selain kad permainan, pihak Kastam turut menyenaraikan beberapa kategori barangan yang sering dirampas akibat kegagalan pengisytiharan, termasuk:

  • Peranti elektronik
  • Kosmetik dan wangian
  • Aksesori fesyen seperti beg tangan, jam tangan, dan barang kemas

Peringatan ini amat penting bagi pemain TCG yang kerap menyertai kejohanan di luar negara dengan membawa dek permainan yang bernilai tinggi (“meta decks”).

Pelancong dan pengumpul dinasihatkan untuk menyemak nilai barangan mereka dan bersedia membuat pengisytiharan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negara.

Tinggalkan komentar