Samsung Galaxy S20 Ultra dilihat bakal berdepan dengan satu lagi masalah yang baru. Kali ini, masalah fizikal yang melibatkan kaca pelindung bahagian modul kamera utamanya.
Sebilangan pengguna melaporkan kaca pelindung kamera Samsung Galaxy S20 Ultra mengalami keretakan sungguhpun dijaga dengan baik dan cermat.
Pengguna-pengguna yang terkesan telah membangkitkan isu ini melalui laman forum Samsung sejak dari bulan lalu. Kebanyakan pengguna terlibat mendakwa telefon berkenaan dilindungi dengan kerangka berkualiti serta tidak pernah terjatuh. Hal ini menyebabkan sesetengah pihak berpendapat perkara ini disebabkan oleh masalah pada reka bentuknya.
Tahap keparahan isu Samsung Galaxy S20 Ultra dilihat tidak sama antara pengguna. Ada sesetengah pengguna mengalami masalah keretakan halus yang mengganggu keupayaan kamera untuk melakukan zoom. Ada pula pengguna yang kaca pelindung kameranya pecah seperti telah dihentam dengan objek tajam.
Cara untuk menangani masalah ini agak sukar terutamanya dalam keadaan dunia berdepan dengan wabak COVID-19. Tambahan pula, masalah ini tidak dilindungi waranti Samsung Galaxy S20 Ultra kerana ianya bersifat kosmetik.
Setakat ini pihak Samsung masih lagi belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini.













