Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof baru-baru ini telah mendedahkan Kabinet secara prinsipnya bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan seru-pandu motosikal Go-Jek dilaksanakan di Malaysia.
Langkah ini dilihat seperti satu pusingan-U terhadap perintah larangan terhadap perkhidmatan yang hampir sama dengan Go-Jek yang dibangunkan oleh anak watan, Dego Ride pada tahun 2017 dahulu.
Persetujuan bersama untuk perkhidmatan ini digerakkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Encik Syed Saddiq yang menyatakan sokongannya secara terbuka. Sokongan yang diberikan oleh beliau berdasarkan kepada peluang pekerjaan yang lebih banyak dapat dibuka kepada para belia-belia melalui perkhidmatan ini.
Golongan mat motor mahukan pekerjaan & pembelaan,
Bukan sahaja program one-off/Litar.Mereka wajib dibela. Jangan perlekehkan sumbangan mereka kepada negara.
Alhamdulillah, berita baik selepas perjumpaan dengan Tun M & Minister Anthony. Let’s work even harder.#Gojek#Matmotor pic.twitter.com/VtnrDtlQy4
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) August 19, 2019
Lanjutan dari itu, satu pertemuan telah diaturkan di antara pengasas Go-Jek, Encik Nadiem Makarim dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke awal bulan ini.
Encik Syed Saddiq turut menegaskan peluang memulakan perkhidmatan seru-pandu motosikal ini sentiasa terbuka untuk kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mengelakkan monopoli dari mana-mana pihak.
Pada masa yang sama, Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof menyatakan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan akan memperincikan aspek kawal selia perkhidmatan ini untuk dibentangkan ke Kabinet.
Perkhidmatan Go-Jek dijangka bakal mula dilaksanakan di Malaysia dalam tempoh dua bulan selepas kelulusan peringkat akhir diberikan nanti.
Sumber berita diperoleh dari The New Straits Times













