Nidec, syarikat pengeluar motor untuk 85 peratus motor pengumpar (spindle) pemacu cakera keras dunia menjangkakan angka pengeluaran HDD di seluruh dunia merosot. Syarikat berpangkalan di Jepun berkenaan turut meramalkan penyusutan sebanyak 50 peratus pengeluaran bagi tahun 2019.
Berdasarkan statistik, Nidec turut menyatakan kadar permintaan untuk pemacu cakera keras tradisional (HDD) telah pun merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dari tahun 2010 hingga 2018, jumlah jualan HDD telah berkurangan dari 650 juta unit kepada 375 juta unit. Salah satu faktor besar adalah peningkatan penggunaan pemacu bahan pejal (solid state drive, SSD).
Berbanding HDD, SSD jauh lebih pantas dan lebih tahan lasak berbanding medium storan mekanikal. Tambahan pula, harga SSD hari ini sudah semakin murah dan tidak lagi mahal seperti di awal pengeluarannya dahulu.
SSD juga bukan sekadar kegunaan pengguna biasa, malahan ianya kini digunakan secara meluas oleh pusat-pusat data di seluruh dunia. Laptop-laptop keluaran terkini juga kini beransur-ansur beralih ke SSD. Manakala pengeluar-pengeluar storan utama dunia seperti Western Digital, Seagate dan Toshiba sudah mula melabur ke medium storan ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna kesemua pengeluar-pengeluar cakera keras bakal menghentikan pengeluarannya. Cuma, fokus pasarannya akan lebih tertumpu pada pasaran perusahaan berbanding pengguna biasa.
Sumber berita dari AnandTech













