Pertama kali di dalam sejarah di Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah melaksanakan majlis akad nikah sepasang pengantin secara dalam talian hari ini.

Pasangan pengantin berkenaan, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, telah disempurnakan pernikahannya secara dalam talian menerusi sidang video.

Pengantin perempuan telah diwalikan oleh bapa beliau, Mohd Sharif Khamis. Majlis disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail melalui Facebook Berita TV Al Hijrah.

Majlis pernikahan telah selamat diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak pada jam 10.10 pagi tadi. Manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa.

17 April lalu JAWI telah memberikan kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi kebenaran berkahwin menjalankan  akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Selain Malaysia, negara yang telah melaksanakan pernikahan secara dalam talian ekoran penularan wabak pendemik COVID-19 adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Imej dari Twitter Ayu Joee, TV Alhijrah

Tinggalkan komentar