Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini telah menerbitkan dokumen rancangan kerajaan untuk jalur 700MHz. Spektrum di dalam jalur ini pada masa ini digunakan oleh penyiaran TV analog yang akan ditamatkan perkhidmatannya menjelang 2018 selaras dengan Malaysia ke arah penyiaran TV digital sepenuhnya melalui myFreeview.

Berdasarkan dokumen tersebut, didapati pihak kerajaan ingin menggunakan jalur tersebut digunakan untuk kegunaan jalur lebar mudah alih. Pengguna-pengguna jalur berkenaan dijangka akan mengimplementasikan teknologi LTE atau yang lebih tinggi dengan kelajuan minimum 30Mbps menjelang tahun 2020, sebagaimana yang disasarkan melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11).

Pada masa yang sama, kerajaan turut berhasrat frekuensi jalur 700MHz ini mampu membantu mencapai sasaran liputan jalur lebar mudah alih kepada 95 peratus pada tahun 2020 dan 98 peratus menjelang tahun 2023. Pengguna jalur berkenaan turut ditawarkan penggunaan jalur berkenaan selama 15 tahun dan dijangka supaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih masing-masing melaluinya pada penghujung 2019.

Selain itu, pihak penyedia perkhidmatan telco juga perlu memastikan harga bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang akan ditawarkan melalui frekuensi terbaru tersebut perlu pada harga mampu milik.

Melalui jumlah keseluruhan lapan blok yang ditawarkan, permohonan bagi jalur frekuensi 700MHz akan dibuka bermula dari 31 Oktober 2017 hingga 2 Januari 2018. Perkembangan yang menarik ini diharapkan bakal menyediakan ruang yang lebih mapan bagi menjayakan Malaysia ke arah negara maju disamping meningkatkan kualiti dan daya saing rakyat dalam memperkasakan teknologi.

Sumber berita diperoleh dari SKMM

 

Tinggalkan komentar