Kemas kini Windows 10 Mei 2019 kini tersedia untuk dimuat turun. Namun, dilaporkan terdapat beberapa isu yang timbul dari kemaskini ini dan pihak Microsoft kini sedang berusaha untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.

Setakat ini telah disahkan tiga isu telah timbul menerusi kemaskini May 2019. Kesemua masalah berkenaan sedang diteliti oleh pihak Microsoft dan pengguna disarankan supaya untuk tidak mengemaskini buat sementara waktu ini sehingga pembaikan terbarunya diterbitkan.

Masalah kawalan kecerahan paparan tidak bertindak balas dengan pelarasan (adjustment)

Isu ini hanya terdapat pada peranti yang menggunakan cip pemprosesan Intel, dan menurut Microsoft sendiri, ia disebabkan oleh ralat keserasian pemacu (driver).

Sesetengah pengguna dilaporkan tidak dapat mengubah tahap kecerahan paparan walaupun sudah melaraskannya.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pengguna perlu membuat but semula peranti untuk melaksanakan perubahan pada kecerahan. Microsoft memaklumkan pihaknya menyekat kemaskini untuk peranti-peranti yang mungkin mempunyai masalah-masalah seperti ini. Pembaikan masalah ini sedang diusahakan dan tiada sebarang tarikh diberikan pada ketika ini.

Audio tidak berfungsi untuk fon kepala dan teater rumah Dolby Atmos

Sesetengah perkakasan Dolby Atmos mengalami kehilangan audio selepas memasang kemas kini May 2019 disebabkan oleh ralat konfigurasi perlesenan.

Masalah ini berlaku disebabkan oleh komponen perlesenan Microsoft Store, di mana pemegang lesen tidak dapat berhubung ke aplikasi Dolby Access dan menjalankan pemalam Dolby Atmos.

Tiada cara penyelesaian yang dapat dilakukan untuk masalah ini. Namun begitu, Microsoft menjanjikan pembaikan akan dapat disediakan sekitar pertengahan bulan Jun ini.

Salinan pendua folder dan dokumen dipaparkan di dalam direktori profil pengguna

Pengguna yang memasang kemaskini Windows 10 Mei 2019 mungkin boleh mendapati folder di dalam library telah dikosongkan jika pengguna telah melencongkan ‘known folders’.

Keadaan ini boleh berlaku jika known folder dilencongkan apabila pengguna memilih untuk membuat sandaran kandungan ke OneDrive melalui ‘wizard’ OneDrive, atau ketika pengguna sedang menggunakan Windows Out-of-Box-Experience (OOBE).

Masalah ini juga boleh berlaku jika pengguna mengalihkan known folder secara manual melalui kotak dialog Properties di dalam File Explorer. Menurut Microsoft, isu ini tidak akan menyebabkan kehilangan fail pengguna dan cara pembaikannya sedang diusahakan.

Tiada jalan penyelesaian untuk masalah ini dan Microsoft memaklumkan pembaikannya akan hadir di dalam bulan ini juga.

Maklumat lanjut mengenai isu-isu berbangkit dari Kemaskini Windows 10 May 2019 boleh didapati melalui portal rasmi Microsoft.

Tinggalkan komentar