Touch ‘n Go bakal memperkenalkan dua fungsi utama terbaru tahun ini yang bakal memanfaatkan pengguna-penggunanya. Antaranya termasuklah fungsi membuat isian semula kad fizikal TnG melalui e-dompet dan tiada caj tambahan bagi bayaran parkir.

Melalui temubual dengan akhbar The Star, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Encik Effendy Shahul Hamid memaklumkan para pengguna boleh mengisi semula nilai kad fizikal melalui aplikasi e-dompet Touch ‘n Go. Fungsi ini dijangka bakal diperkenalkan sekitar penghujung tahun ini.

Buat masa ini, Touch ‘n Go telah menawarkan fungsi PayDirect yang membolehkan pengguna membayar tol melalui e-dompet dengan menyentuh kad fizikal TnG di pondok plaza tol.

Pengguna terlebih dahulu perlu memautkan kad fizikal TnG dengan aplikasi e-dompet TnG masing-masing untuk caj bayaran tol akan ditolak dari baki e-dompet. Turut diperkenalkan fungsi auto isian semula sebagai kemudahan kepada pengguna.

Bagaimanapun, fungsi ini hanya terhad di beberapa lebuh raya terpilih. Serta, fungsi yang sedia ada buat masa ini tidak membolehkan pengguna membuat isian semula kad fizikal melalui e-dompet.

Tiada surcaj parkir

Pengguna jalan raya seringkali membantah bayaran tambahan caj perkhidmatan TnG yang dikenakan apabila pengguna membayar parkir melalui kad TnG.

Menurut Touch ‘n Go, bayaran surcaj parkir ini akan dimansuhkan menjelang suku pertama tahun ini. Perkara ini dapat dilakukan melalui rundingan dengan pengendali tapak meletak kenderaan.

Tinggalkan komentar