Desas-desus mengenai kehadiran siri iPhone 17 sudah mula diperkatakan walaupun pelancaran iPhone 16 masih lagi belum menemui pengguna. Hal ini kerana siri berkenaan dikatakan akan membawakan perubahan yang besar bagi siri telefon pintar tersebut.
Menurut penganalisis Haitong International Securities, Jeff Pu, siri iPhone 17 akan mempunyai model Slim menggantikan model Plus. Model baharu ini mempunyai paparan 6.6-inci, menjadikan ia sedikit kecil berbanding iPhone 15 Plus yang mempunyai saiz paparan 6.7-inci. Perubahan tersebut dijangka akan menjadikan iPhone 16 Plus yang akan dilancarkan pada tahun ini merupakan model yang terakhir.
Laporan tersebut juga menyebut rekaan aluminium pada iPhone 17, iPhone 17 Slim, dan iPhone 17 Pro dijangka akan menjadi lebih kompleks. Untuk iPhone 17 Pro Max pula dijangka akan kekal dengan kerangka titanium serta Dynamic Island padanya juga akan lebih nipis.
Dari segi spesifikasi pula, Pu berkata iPhone 17 dan iPhone 17 Slim mungkin menampilkan RAM 8GB, bersama-sama pemprosesan Apple A18 atau Apple A19. Manakala model Pro dan Pro Max pula kelak mungkin mempunyai RAM 12GB dan pemprosesan Apple A19 Pro. Kamera hadapan untuk kesemua model pula dijangka akan menawarkan 24MP.
Masih terlalu awal untuk menjangkakan khabar angin benar-benar berlaku atau tidak. Selain Jeff Pu, penganalisis di DSSC Ross Young juga pernah menyebut tentang kemungkinan kehadiran model Slim pada iPhone keluaran yang akan datang kelak.
We hear the 17" Plus/Slim will be 6.55".
— Ross Young (@DSCCRoss) May 6, 2024













