iPhone dijangka akan menyokong pengecasan pantas melebihi 35W berikutan peralihan port mengecasnya daripada Lightning kepada USB-C.

Menurut sumber yang dipetik oleh 9to5Mac, siri iPhone 15 akan menyokong pengecasan pantas sehingga 35W menerusi port USBC. Ini bermakna kadar pengecasannya akan menjadi jauh lebih pantas berbanding siri iPhone 14 yang di pasaran pada ketika ini.

Menurut Apple, iPhone 14 mampu dicaskan sehingga 50% kapasiti baterinya dalam tempoh 30 minit dan dicaskan sehingga penuh dalam tempoh dua jam melalui port Lightning. Ia juga dijangka akan memanfaatkan pengecas dwi-port 35W Apple yang diperkenalkan pada MacBook Air M2 tahun lepas.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada watt yang tinggi ini akan disokong oleh seluruh siri iPhone 15 atau sekadar iPhone 15 Pro dan iPhone Pro 15 Max sahaja. Terdapat juga ura-ura yang mengatakan sesetengah model akan mempunyai port Thunderbolt untuk kelajuan pemindahan data yang lebih pantas.

Kadar pemindahan data dan pengecasan berbeza antara model, mungkin?

Apple sebelum ini pernah menawarkan kadar pemindahan data yang berbeza-beza antara model peranti keluarannya. Misalnya pada siri iPad, iPad Pro M2 menggunakan port Thunderbolt 4, manakala iPad Air M1 menggunakan port USB 3.1 Gen 2 dengan iPad generasi ke-10 hanya menggunakan USB 2.0. Untuk kadar pengecasan pula, iPad Pro dan iPad Air menyokong pengecasan sehingga 33W, namun iPad hanya terhad pada 29W sahaja.

Terdapat beberapa perubahan besar lain yang dijangka akan diperkenalkan pada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max. Binaan kerangka titanium yang lebih kukuh menggantikan kemasan keluli tahan karat berkilat. Manakala bingkainya pula dijangka akan lebih nipis dan menjadikan saiz fizikalnya sedkit kecil. Butang bisu (mute) juga dikatakan akan digantikan dengan butang Action yang boleh dikonfigurasikan seperti Apple Watch Ultra.

Turut diperkatakan, ura-ura kamera telefoto periskop akan disediakan pada model Pro Max dan mampu meningkatkan jarak zum kameranya.

Sokongan pengecasan 35W ini dikirakan tidak begitu besar jika dibandingkan dengan 45W yang disokong oleh Samsung Galaxy S23 Plus dan S23 Ultra. Malah, ia jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan teknologi pengecasan dari pengeluar dari China seperti OPPO SuperVOOC dan Xiaomi Hypercharge yang mampu menyokong lebih dari 100W.

Tinggalkan komentar