iPhone 14 Pro didakwa akan mempunyai RAM sebanyak 8GB dan jika dakwaan tersebut didapati tepat, model berkenaan akan menjadi iPhone pertama yang mempunyai RAM sehingga 8GB.
Menurut satu hantaran oleh seorang pengguna “yeux1122” di laman blog Korea, Naver, iPhone 14 Pro akan mempunyai RAM 8GB. Memetik sumber dari pembekal, hantaran tersebut mendakwa komponen memori bagi model berkenaan telah pun disahkan. Tambah sumber berkenaan lagi, jadual pengeluaran bagi peranti tersebut juga akan dipercepatkan.
Akaun yang sama juga sebelum ini mengatakan mengenai model iPad mini baharu akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2021. Dakwaan tersebut didapati tepat dari segi maklumat tarikh masa pelancaran, namun desas-desus saiz paparan tablet berkenaan didapati tidak tepat.
Laporan oleh penganalisis Jeff Pu dari Haitong International Securities pada tahun lalu mendakwa iPhone 14 Pro 6.1-inci dan iPhone 14 Pro Max 6.7-inci akan dilengkapkan dengan RAM sebanyak 8GB. Bagi model bukan Pro pula, RAM yang akan ditawarkan kelak dikatakan akan hadir kurang dari 8GB.
Mempunyai RAM berkapasiti besar lebih dari 8GB kian menjadi satu kelaziman buat peranti-peranti Android seperti Galaxy S22. Samsung mula memperkenalkan telefon pintar dengan RAM 8GB sejak dari Galaxy S10 dilancarkan pada tahun 2019.













